Latar Belakang JPPF

Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF) dahulunya dikenali sebagai Unit Pembangunan telah ditubuhkan pada tahun 2000 dan mula beroperasi di Bangunan Institut Profesional Bailtulmal (IPB), Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Bilangan kakitangan pada masa berkenaan adalah seramai empat orang dan diketuai oleh seorang Pemangku Pengarah, iaitu En. Idris Mamat. Pada masa berikutnya, peranan berkenaan telah diambil alih oleh Ir. Daim Saian dengan menggunakan gelaran sebagai Pengarah Pembangunan.

Pada pertengahan tahun 2001, Unit Pembangunan telah berpindah ke Bangunan Menara A, Persiaran MPAJ, Pandan Indah selaras dengan pertambahan kakitangan dan perpindahan Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) ke bangunan tersebut. Setelah sebahagian projek pembangunan Kampus Tetap di Mukim Nilai, Negeri Sembilan siap pada Ogos 2005, Unit Pembangunan berpindah ke bangunan sementara (pejabat tapak projek) yang dahulunya diduduki oleh perunding pengurusan projek (PMC), KLIA Consutancy Services Sdn. Bhd (KLIACS) sebelum mendapat bangunan sendiri yang sebelum ini merupakan Bangunan Perpustakaan secara sementara.

Selari dengan kematangan KUIM yang kini USIM, Unit Pembangunan menuruti induknya itu dalam penyampaian perkhidmatan. Lantaran bebanan kerja yang semakin bertambah, beberapa Seksyen diwujudkan di Unit Pembangunan iaitu Seksyen Arkitek dan Seksyen Mekanikal, diikuti Seksyen Landskap pada tahun 2002 yang bertanggungjawab menyelia proses rekabentuk dan kerja penghijauan kampus. Berikutnya, pewujudkan Seksyen Ukur Bahan dilaksanakan bagi membantu pentadbiran kontrak-kontrak pembinaan.

Mulai Ogos 2005, dengan kakitangan seramai 20 orang, JPPF mula melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan setelah mengambil alih bangunan-bangunan baru daripada pihak kontraktor. Di antara bangunan yang telah diambil alih daripada pihak kontraktor adalah bangunan Pusat Teknologi Maklumat (PTM), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Fakulti Syariah dan Kehakiman (kini Fakulti Syariah dan Undang-Undang, FSU), serta Pusat Kemudahan Pelajar (FKP). Selain daripada itu, beberapa fakulti/ pusat diwujudkan seperti Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Fakulti Pergigian (FPg) dan Pusat Penyelidikan dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) di Kampus Cawangan USIM di Menara B, Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Pada tahun 2005 juga menyaksikan JPPF melaksanakan sendiri pengurusan pelaksanaan projek-projek baharu. Pembinaan bangunan-bangunan di Kampus Tetap dimulakan dengan Bangunan Canselori, Bangunan Makmal Sains 6 Tingkat, Bangunan Setor Pusat, Bangunan Dewan Kuliah Pusat 1 & 2 (DKP 1 & 2), Bangunan-Bangunan Utiliti, diikuti Bangunan Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Bangunan Perpustakaan, Bangunan Pavilion & Komplek Sukan, Komplek Rumah Kakitangan Penting (RKP USIM), Bangunan Pusat Komersial & Dataran Selera, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) dan Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) pada tahun 2009.

Pada tahun 2008, dengan iltizam dan semangat baharu JPPF berusaha gigih bagi memperolehi sijil pengurusan kualiti dalam Pengurusan Projek MS ISO 9001:2008 dan MS 1900:2005 dengan pematuhan Syariah. Pada 26 Mac 2010, JPPF secara rasminya telah menerima pensijilan daripada pihak SIRIM yang menjadikan USIM sebagai Universiti pertama memperolehi pensijilan ISO dengan pematuhan Syariah dalam pengurusan projek. Ekoran dari pertambahan fungsi dan peranan, penjenamaan semula nama Unit Pembangunan kepada Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF) telah dilaksanakan diikuti dengan pertukaran nama Seksyen kepada Bahagian.

Kini, JPPF mengandungi tiga Bahagian utama dengan pembahagian kepada sepuluh Seksyen lain mengikut bidang tujahan Bahagian masing-masing. Sementara sehingga 31 Januari 2013, modal insan di Jabatan ini telah bertambah kepada 137 orang dengan penempatan hakiki di Jabatan sedia ada atau penempatan semasa di Pusat Tanggung Jawab (PTJ) lain seperti di FSPSK, FPg dan FKP.

 

sumber maklumat

 JABATAN PEMBANGUNAN DAN PENGURUSAN FASILITI
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
Tel: +606-798 8080/8021   Faks: +606-799 0275   E-mel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.